Setelah ujian pap smear dilakukan, sampel yang diambil itu akan dihantar ke makmal dan pakar patologi akan menganalisa sampel tersebut. Secara kasarnya keputusan ujian pap smear ini terdiri dari :

a. Normal
b. Tanda-tanda jangkitan
c. Sel-sel yang tidak normal iaitu sel pra-kanser (CIN 1,2,3)
d. Sel-sel dijangkiti virus HPV
e. Sampel tidak lengkap atau sukar dibaca oleh makmal

Sekiranya normal, anda tidak perlu bimbang dan tiada pemeriksaan lanjut perlu dilakukan. Jika sekiranya terdapat jangkitan kuman ataupun kulat, rawatan yang bersesuaian seperti antibiotik atau antifungus perlu diberikan dan ujian pap smear dilakukan semula 2-3 bulan kemudian. Bagi sampel yang tidak lengkap dan sukar dibaca, ini kemungkinan besar disebabkan kaedah pengambilan pap smear yang tidak sempurna ataupun waktu dilakukan ujian itu tidak sesuai contohnya ketika datang haid. Dalam keadaan ini, ujian pap smear perlu dilakukan semula secepat mungkin setelah anda telah kering dari haid ataupun telah pulih dari jangkitan kuman ataupun kulat.

Jika sekiranya keputusan ujian pap smear menunjukkan terdapatnya sel-sel yang tidak normal (c), maka anda akan dirujuk kepada doktor Pakar Ginekologi untuk menjalani pemeriksaan yang dinamakan kolposkopi. Kosposkopi adalah pemeriksaan terperinci ke atas servik bagi mengesan kelainan. Kolposkop berupaya membesarkan imej serviks sebanyak10 kali ganda dan dengan menggunakan cecair asid asetik, mana-mana kelainan akan dapat dilihat dengan jelas. Jika terdapat kelainan tersebut, doktor akan mengambil cubitan untuk ujian pengesahan. Cubitan daging yang diambil tadi akan dihantar ke makmal dan pakar patologi akan memeriksa. Melalui keputusan ujian inilah, anda akan dirawat. Pastikan anda menjalani pemeriksaan kolposkopi dahulu sebelum rawatan. Ingat, rawatan prakanser tidak boleh diberikan hanya berdasarkan kepada ujian pap smear.


Pap Smear adalah salah satu kaedah mencegah kanser serviks. Ujian pap smear perlu dilakukan oleh semua wanita yang pernah terdedah kepada hubungan seks kerana mereka adalah golongan-golongan yang berisiko menghidap kanser serviks. Pap smear dapat mengesan peringkat pra-kanser serviks. Rawatan ke atas peringkat pra-kanser ini akan mencegah wanita berkenaan mendapat kanser serviks di kemudian hari. Peringkat pra-kanser adalah peringkat sel-sel yang belum menjadi kanser tetapi telah menunjukkan tanda2 kelainan yang kalau tidak dirawat akan bertukar menjadi kanser. Bilakah waktu yang sesuai melakukan ujian pap smear ?

Waktu yang sesuai melakukan ujian pap smear adalah :

1. Selepas kering darah haid
2. Tidak terdapat tanda-tanda jangkitan pada faraj seperti keluar lendir berbau dan demam
3. Pada hari ujian dijalankan tidak menggunakan sebarang ubat-ubatan atau pewangi ke dalam faraj
4. Tidak melakukan hubungan seks sekurang2nya 24 jam sebelum ujian pap smear
5. Usia yang sesuai melakukannya adalah di antara 20 hingga 65 tahun




Kanser ovari adalah kanser ginekologi yang kedua paling utama selepas kanser serviks. Kanser ovari adalah kanser yang paling menakutkan kerana ianya sukar dikesan pada peringkat awal dan tidak ada kaedah saringan yang berkesan untuk mengesan peringkat awal. 60% dari wanita yang menghidap kanser ovari didapati sudah berada pada peringkat 3-4. Rawatan pembedahan adalah rawatan utama dan selepas pembedahan, rawatan kemoterapi akan diberikan jika pesakit didapati menghidap kanser ovari peringkat 1C dan ke atas. Kemoterapi diberi sebanyak 6 kali, setiap 3 minggu. Gejala2 kanser ovari adalah kembong perut, sakit perut, mudah kenyang, kurang selera makan, berat badan menurun dengan mendadak dan kadangkala berlaku pendarahan faraj yang tidak normal.





Kanser Serviks adalah kanser wanita yang kedua paling utama di negara2 membangun termasuk Malaysia. Lebih dari 1500 kes baru kanser serviks dilapurkan di Malaysia setiap tahun. Serviks ataupun pangkal rahim adalah bahagian bawah rahim yang menjadi pintu keluar anak semasa proses kelahiran. Walaupun kecil ianya sangat penting. Kanser serviks boleh menyebabkan beban fizikal, seksual dan juga psikologi. Kanser serviks walau bagaimanapun boleh dicegah dengan menjalani ujian saringan pap smear. Pap smear adalah ujian yang dilakukan dengan mengambil calitan pada serviks dan dipindahkan ke atas slaid kaca. Ianya diproses dan dilihat di bawah mikroskop. Sel2 yang tidak normal dapat dikesan dan langkah pencegahan dapat dijalankan.

Kaedah terbaru pencegahan kanser serviks adalah Vaksin HPV. HPV adalah singkatan kepada Human Papilloma virus. HPV adalah penyebab utama kanser serviks. Vaksin yang diberikan boleh mencegah jangkitan virus HPV. Vaksin ini diberikan sebanyak 3 kali dalam masa 6 bulan. Golongan yang paling sesuai menerima vaksin ini adalah gadis2 remaja yang belum terdedah kepada hubungan seks. Wanita-wanita yang lebih tua sehingga usia 45 tahun boleh juga mengambilnya tetapi keberkesananya adalah lebih rendah kerana mereka mungkin telah dijangkiti oleh salah satu dari jenis HPV yang terdapat di dalam vaksin. Di Malaysia, terdapat 2 jenis vaksin HPV yang diluluskan iaitu Gardasil dan Cervarix. Kedua2 vaksin ini hanya boleh diperolehi dari Klinik dan Hospital Swasta. Kita akan berbincang dengan lebih lanjut berkenaan dengan vaksin HPV di dalam blog ini.




Kanser adalah sejenis penyakit kronik yang menyebabkan kesengsaraan berjuta-juta manusia seluruh dunia. Menurut lapuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser bukan saja menyebabkan penderitaan tetapi juga menjadi punca kematian kepada lebih 6 juta lelaki dan wanita setiap tahun di seluruh dunia (tahun 2000). Jumlah ini merupakan 12% daripada penyebab kematian manusia di seluruh dunia. Dilapurkan bahawa lebih 10 juta kes baru kanser dilapurkan setiap tahun. Pada tahun 2002, jumlahnya meningkat kepada 10.9 juta kes baru dan sejumlah 6.7 juta orang dilapurkan mati akibat kanser. Apa yang membimbangkan adalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan kadar kejadian kanser akan meningkat sebanyak 50% kepada 15 juta kes pada tahun 2020. Punca peningkatan bilangan kes kanser ini dikaitkan dengan semakin tinggi peratusan warga tua disebabkan oleh jangka hayat yang makin panjang. Di samping faktor yang tersebut, perubahan cara hidup seperti merokok dan mengamalkan pemakanan serta cara hidup yang tidak sihat juga merupakan faktor penyumbang kepada peningkatan bilangan kes kanser.

Dari segi jenis kanser, kanser paru-paru merupakan kanser yang paling tinggi bilangan penghidapnya di dunia. Pada tahun 2002, sebanyak 1.35 juta kes kanser paru-paru telah dilapurkan diikuti oleh kanser payudara sebanyak 1.15 juta kes dan kanser usus sebanyak 1 juta. Negeri China didapati menyumbang 2.2 juta kes kanser ataupun 20% daripada jumlah keseluruhan kes kanser dunia.

Tiga faktor paling penting yang menjadi penyebab penyakit kanser sedunia adalah tabiat merokok, jangkitan virus (23% daripada kanser di Negara-negara membangun adalah disebabkan oleh jangkitan virus seperti virus Hepatitis B (kanser hati) dan Virus HPV (kanser pangkal rahim) dan tabiat pemakanan.
Apa yang menarik berkenaan dengan penyakit kanser ini adalah sepertiga dari kes-kes kanser ini boleh dicegah dengan kaedah pencegahan yang sesuai manakala sepertiga lagi boleh dirawat. Manakala bagi pesakit-pesakit kanser yang sukar dirawat, terdapat kaedah-kaedah rawatan yang dapat mengurangkan penderitaan mereka. Kaedah rawatan ini dinamakan penjagaan paliatif (’palliative care“


Buku Kanser Wanita yang dipaparkan ini telah berada di pasaran. Ia adalah salah satu buku Kanser Wanita yang paling lengkap memperkatakan semua aspek kanser wanita daripada kaedah pencegahan, pengesanan awal , rawatan dan penjagaan selepas rawatan. Jenis-jenis kanser yang dibincangkan di dalam buku ini adalah Kanser Serviks (Kanser Pangkal Rahim), Kanser Payudara, Kanser Ovari, Kanser Rahim, Kanser Vulva, Kanser Vagina dan Koriokarsinoma. Insyaallah , buku ini amat bermanafaat kepada semua golongan. Apabila pembaca menbaca buku ini, pembaca akan memahami apakah yang akan dilalui oleh setiap penghidap kanser wanita daripada saat dikesan menghidap kanser, menjalani rawatan dan juga rawatan susulan. Buku ini juga memaparkan kaedah-kaedah pencegahan . Di beberapa bab terakhir buku ini terdapat juga bab-bab yang memperkatakan kaedah rawatan paliatif dan juga bagaimana menghadapi masalah psikologi akibat dari menghidap kanser wanita. Pembaca juga boleh mendapat maklumat berkenaan dengan ujian-ujian khusus seperti CT Scan, MRI dan juga PET scan. Buku ini adalah setebal 376 mukasurat dan mengandungi sekurang-kurangnya 130 imej-imej serta gambar-gambar berkualiti berkaitan dengan kanser amnya dan kanser wanita khasnya. Ini bertujuan untuk memudahkan kefahaman pembaca. Selamat membaca.

Untuk mendapatkan buku ini sila layari laman web berikut : http://www.mybooks.com.my/


Contoh-contoh isi kandungan buku Kanser Wanita