Kanser adalah sejenis penyakit kronik yang menyebabkan kesengsaraan berjuta-juta manusia seluruh dunia. Menurut lapuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser bukan saja menyebabkan penderitaan tetapi juga menjadi punca kematian kepada lebih 6 juta lelaki dan wanita setiap tahun di seluruh dunia (tahun 2000). Jumlah ini merupakan 12% daripada penyebab kematian manusia di seluruh dunia. Dilapurkan bahawa lebih 10 juta kes baru kanser dilapurkan setiap tahun. Pada tahun 2002, jumlahnya meningkat kepada 10.9 juta kes baru dan sejumlah 6.7 juta orang dilapurkan mati akibat kanser. Apa yang membimbangkan adalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan kadar kejadian kanser akan meningkat sebanyak 50% kepada 15 juta kes pada tahun 2020. Punca peningkatan bilangan kes kanser ini dikaitkan dengan semakin tinggi peratusan warga tua disebabkan oleh jangka hayat yang makin panjang. Di samping faktor yang tersebut, perubahan cara hidup seperti merokok dan mengamalkan pemakanan serta cara hidup yang tidak sihat juga merupakan faktor penyumbang kepada peningkatan bilangan kes kanser.

Dari segi jenis kanser, kanser paru-paru merupakan kanser yang paling tinggi bilangan penghidapnya di dunia. Pada tahun 2002, sebanyak 1.35 juta kes kanser paru-paru telah dilapurkan diikuti oleh kanser payudara sebanyak 1.15 juta kes dan kanser usus sebanyak 1 juta. Negeri China didapati menyumbang 2.2 juta kes kanser ataupun 20% daripada jumlah keseluruhan kes kanser dunia.

Tiga faktor paling penting yang menjadi penyebab penyakit kanser sedunia adalah tabiat merokok, jangkitan virus (23% daripada kanser di Negara-negara membangun adalah disebabkan oleh jangkitan virus seperti virus Hepatitis B (kanser hati) dan Virus HPV (kanser pangkal rahim) dan tabiat pemakanan.
Apa yang menarik berkenaan dengan penyakit kanser ini adalah sepertiga dari kes-kes kanser ini boleh dicegah dengan kaedah pencegahan yang sesuai manakala sepertiga lagi boleh dirawat. Manakala bagi pesakit-pesakit kanser yang sukar dirawat, terdapat kaedah-kaedah rawatan yang dapat mengurangkan penderitaan mereka. Kaedah rawatan ini dinamakan penjagaan paliatif (’palliative care“