Setelah ujian pap smear dilakukan, sampel yang diambil itu akan dihantar ke makmal dan pakar patologi akan menganalisa sampel tersebut. Secara kasarnya keputusan ujian pap smear ini terdiri dari :

a. Normal
b. Tanda-tanda jangkitan
c. Sel-sel yang tidak normal iaitu sel pra-kanser (CIN 1,2,3)
d. Sel-sel dijangkiti virus HPV
e. Sampel tidak lengkap atau sukar dibaca oleh makmal

Sekiranya normal, anda tidak perlu bimbang dan tiada pemeriksaan lanjut perlu dilakukan. Jika sekiranya terdapat jangkitan kuman ataupun kulat, rawatan yang bersesuaian seperti antibiotik atau antifungus perlu diberikan dan ujian pap smear dilakukan semula 2-3 bulan kemudian. Bagi sampel yang tidak lengkap dan sukar dibaca, ini kemungkinan besar disebabkan kaedah pengambilan pap smear yang tidak sempurna ataupun waktu dilakukan ujian itu tidak sesuai contohnya ketika datang haid. Dalam keadaan ini, ujian pap smear perlu dilakukan semula secepat mungkin setelah anda telah kering dari haid ataupun telah pulih dari jangkitan kuman ataupun kulat.

Jika sekiranya keputusan ujian pap smear menunjukkan terdapatnya sel-sel yang tidak normal (c), maka anda akan dirujuk kepada doktor Pakar Ginekologi untuk menjalani pemeriksaan yang dinamakan kolposkopi. Kosposkopi adalah pemeriksaan terperinci ke atas servik bagi mengesan kelainan. Kolposkop berupaya membesarkan imej serviks sebanyak10 kali ganda dan dengan menggunakan cecair asid asetik, mana-mana kelainan akan dapat dilihat dengan jelas. Jika terdapat kelainan tersebut, doktor akan mengambil cubitan untuk ujian pengesahan. Cubitan daging yang diambil tadi akan dihantar ke makmal dan pakar patologi akan memeriksa. Melalui keputusan ujian inilah, anda akan dirawat. Pastikan anda menjalani pemeriksaan kolposkopi dahulu sebelum rawatan. Ingat, rawatan prakanser tidak boleh diberikan hanya berdasarkan kepada ujian pap smear.